BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 10, 2009

GURU JADI KERANI DI SEKOLAH????

SAYA merujuk maklum balas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Alimuddin Md. Dom terhadap tulisan saya di Forum Utusan Malaysia yang bertajuk Erti Sebenar Guru Cemerlang.

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana barangkali saya tidak menulis secara jelas tentang apa yang saya maksudkan dengan beban kerja perkeranian dalam tulisan itu. Biar saya jelaskan lebih lanjut tentang ‘beban kerja perkeranian’.

Contoh pertama: Tugas guru kebajikan dan biasiswa. Saya berpendapat, semua guru, terutama sekali guru tingkatan ialah guru kebajikan. Sebab itulah banyak hal peribadi murid yang mengganggu pembelajaran mereka ada dalam pengetahuan guru. Ibu bapa bercerai, ibu bapa bergaduh, ayah dibuang kerja, ibu lari dari rumah, semuanya diadukan kepada guru. Itu tak mengapa. Jika sedikit tepukan di bahu dan mengesat air mata murid boleh membantu mereka belajar, saya fikir tiada guru yang merungut.

Tetapi guru biasiswa, lain pula ceritanya. Mereka perlu membuat salinan borang, mengedarkan borang, mengutip semula borang dan memastikan semua borang diisi dengan betul, termasuk memastikan semua salinan dokumen sokongan lengkap, seperti salinan kad pengenalan dan sebagainya. Sebelum semua ini bermula, mereka perlu mencari murid yang miskin untuk diberi bantuan biasiswa. Ada banyak jenis biasiswa untuk murid sekolah dan semuanya ada syarat layak yang tertentu, tetapi secara umumnya murid yang keluarganya mempunyai pendapatan kurang daripada seribu ringgit sebulan, layak mendapat bantuan.

Soalnya, tidak bolehkah kerja mengenal pasti murid dan semua ‘kerja-kerja kertas’ itu dibuat oleh kerani? Apa kaitan pengurusan biasiswa yang banyak melibatkan kertas itu dengan kerja guru yang sebenar, iaitu P&P?

Contoh kedua: Saya fikir hampir semua guru sedar bahawa bagi orang-orang politik, semua masalah sosial negara perlu diselesaikan di sekolah. Benar, sekolah memang tempat mendidik, tapi apakah setiap kali ada masalah kita hendak buat satu persatuan atau kelab baru. Tugas guru ialah mendidik murid membezakan apa yang salah dan apa yang betul dan kita mengajar mereka supaya berfikir sendiri. Kita tidak boleh sebut satu-satu ‘merempit salah’, ‘hisap dadah salah’ atau ‘mencuri salah’, kerana ada terlalu banyak kerja jahat dalam dunia ini. Kita perlu ajar murid berfikir sendiri.

Tetapi apabila kita menghadapi masalah mengatasi jenayah, guru diminta membuat satu kelab antijenayah. Bila ada masalah dadah pula, kita buat pula kelab antidadah, seolah-olah masalah dadah bukan jenayah yang tidak boleh digabung dengan antijenayah. Kemudian kita dapati murid kita tidak sayang kepada negara, kita buat pula kelab kenegaraan, seolah-olah Persatuan Sejarah sudah gagal. Kita boleh buat 100 persatuan dan kelab pun mengikut kehendak masyarakat luar, tetapi siapa yang hendak membuat kerjanya? Mengadakan persatuan bukan semata-mata berkumpul dan membuat aktiviti. Guru perlu menyiapkan laporan, mendaftar persatuan, mengambil gambar, membuat perancangan tahunan. Ini semua ‘kerja-kerja kertas’. Mengapa tidak boleh hantar pegawai polis atau pegawai dari Biro Tata Negara (BTN) datang menguruskan persatuan ini di sekolah? Datanglah setiap hari Sabtu misalnya, untuk aktiviti ini.

Contoh ketiga: Guru data. Tugas guru ini ialah merekodkan hal perjawatan guru, misalnya, tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh temuduga, tarikh sah jawatan, tangga gaji, kursus dan sebagainya. Oleh kerana tugas merekod ini berat, maka guru-guru Data biasanya dikurangkan waktu mengajar, kepada 12 hingga 15 waktu daripada biasanya 25-29 waktu untuk guru-guru lain (setiap waktu ialah 40 minit di sekolah menengah dan 30 minit di sekolah rendah). Masalahnya, guru-guru data ini merekodkan perkara yang Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sudah tahu, contohnya, tarikh-tarikh penting seperti tarikh lapor diri, tarikh lantik, tarikh sah jawatan. Bukankah surat datang dari SPP?

Contoh keempat: Guru tingkatan. Guru tingkatan ialah antara orang yang paling sakit kepala di sekolah kerana semua guru-guru lain bekerja melalui guru tingkatan. Guru biasiswa hendak edar borang, suruh guru tingkatan. Sekolah hendak cuti, guru tingkatan perlu edar surat. Guru SPBT hendak edar buku teks, guru tingkatan perlu uruskan. Murid kemalangan, hendak mohon insurans, guru tingkatan juga perlu uruskan. Guru Penolong Kanan kokurikulum hendak maklumat kokurikulum murid, pun suruh guru tingkatan, bukan suruh guru persatuan atau kelab. Murid tidak datang sekolah, guru tingkatan perlu hantar surat amaran. Kelas tak ada penyapu, pun guru tingkatan kena belikan. Kadang-kadang kalau kelas kotor, cikgulah yang kena menyapu walaupun sekolah ada tukang sapu swasta. Kalau pegang kelas baik, tak apa. Tapi kalau dapat kelas belakang, memang guru boleh kena serangan jantung.

Sekarang ini syukurlah kita ada sistem online yang mengumpul data peribadi murid yang kita panggil Sistem Maklumat Murid (SMM). Seorang guru dilantik menjaga SMM ini. Jika guru data menjaga maklumat guru, guru SMM menjaga maklumat murid. Tetapi, walaupun SMM sudah ada, guru tingkatan masih perlu mengisi kad 001. Untuk apa, saya pun tidak tahu. Setiap tahun, guru yang memegang kelas tingkatan 1 perlu menyiapkan kad 001 seawal bulan Februari atau Mac. Tetapi selepas itu tiada siapa yang hendak mengurus kad 001 itu, sebab hampir semua keperluan maklumat murid akan diambil dari SMM. Jika kita ada setengah juta murid baru masuk ke tingkatan satu, ada setengah juta lagi murid baru masuk darjah satu. Jika harga kad 001 itu satu ringgit, kita membelanjakan satu juta ringgit untuk kad 001 yang tidak digunakan pun. Ini duit siapa satu juta ini? Dan hal menguruskan kad 001 itu, tenaga siapa kalau bukan guru?

Contoh kelima: Guru perabot. Bila ada masalah perabot sekolah, guru ini kerjanya mengangkut kerusi meja yang rosak dan mengira berapa banyak perlu dihapuskan, berapa banyak perlu mohon yang baru, dan berapa banyak boleh dibaiki. Adakah semua ini membantu murid meningkatkan prestasi akademik dan sahsiah sebagaimana disebut oleh KPPM dalam tulisannya? Barangkali KPPM tidak pernah nampak rupa guru bermandi peluh turun naik tangga mengangkut perabot, ada yang ringan, ada yang berat. Saya pernah nampak; macam buruh yang kerja membuat bangunan.

Saya tidak nafi, di luar negara pun amalannya ialah melantik guru akademik membuat kerja pentadbiran. Tapi berapa banyak kerja pentadbiran yang mereka ada? Adakah sampai memakan masa 70-80% masa kerja? Saya pernah melawat sekolah di luar negara, dan Guru Besar mereka pun mengajar hampir separuh daripada masa kerja dan membuat kajian tindakan. Adakah Guru Besar dan Pengetua kita membuat kajian tindakan? Setahu saya, hanya negeri Johor mewajibkan semua guru membuat kajian tindakan, itupun ramai yang membuat kajian ‘depan komputer’ kerana kesuntukan masa.

Akuilah, kerja pentadbiran memang sudah mengganggu tugas hakiki guru kita. Kalau tidak mengapa Menteri Pelajaran sejak Datuk Hishamuddin bercakap tentang beban kerja guru?

Mengapa Menteri Pelajaran pernah menyebut tentang institut latihan guru sukan, supaya guru akademik tidak perlu lagi membuat tugasan kokurikulum, sebagai usaha mengurangkan beban kerja guru?

Adakah Menteri Pelajaran tanpa latar belakang pendidikan lebih sedar hakikat di sekolah berbanding KPPM yang pernah menjadi guru? dan mengapa perlu ada Standard Guru Malaysia (SGM) jika kita sudah ada Tonggak 12, kalau bukan kerana guru kita sudah terpesong dari apa yang digariskan dalam Tonggak 12, dek kerana kerja-kerja perkeranian ini? Atau adakah SGM dibuat supaya lebih banyak ‘kerja-kerja kertas’ dibuat oleh guru?

P/S : dipetik dari akhbar UTUSAN MALAYSIA - 10122009

0 comments: