BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 13, 2010

Kajian beban guru siap dalam seminggu

PUTRAJAYA 12 Mei – Laporan jawatankuasa khas bagi mengkaji beban guru di seluruh negara akan siap dan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa seminggu lagi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, penyerahan laporan tersebut dapat dilakukan setelah proses pengumpulan maklumat dan perbincangan mengenai kajian beban guru kini di peringkat akhir.

Menurutnya, kementerian sebelum ini memberikan tempoh selama dua bulan dari April hingga akhir Mei ini untuk membincangkan tentang bebanan tugas guru.

“Petang ini juga saya mengadakan mesyuarat terakhir dengan ahli jawatankuasa untuk membincangkan laporan bebanan tugas guru.

“Apabila semua maklumat telah dikumpulkan kita akan menyerahkan laporan tersebut kepada Menteri Pelajaran dengan segera dan beliau akan mengumumkan perkara yang dicadangkan dalam laporan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini selepas memberi taklimat mengenai Sambutan Hari Guru 2010 yang akan berlangsung di Pahang, Ahad ini.

Laporan jawatankuasa khas itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Alimuddin berkata, jawatankuasa khas itu bernasib baik kerana hampir dapat menyiapkan laporan tersebut pada waktu yang ditetapkan disebabkan terdapat laporan-laporan lepas untuk dijadikan rujukan.

Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa khas itu juga mengambil pendekatan mengadakan makmal perbincangan dengan menjemput para guru, pengetua dan pegawai pendidikan daerah memberi pandangan.



0 comments: